Pengikut

Isnin, 28 Februari 2011

WAA WAA WAA BULAN

Waa waa waa
bulan
aku datang
sinarilah alam

Waa waa waa
bulan
aku datang
kenapa kau menjauh
merajuk sungguh

Waa waa waa
bulan
aku datang
ukirkan senyuman
jangan aku
kau
tinggalkan..


ZULBAHRI HUSSIN.
Permatang Badak. Kuantan. 1 mac 2011......dalam diri ada puisi.

Jumaat, 25 Februari 2011

OH BULAN


Oh bulan
sendu semalam
masih kedengaran
sewaktu aku
berjalan pulang

Tanya pada bulan
esok kalau sempat
datang
gugurkan keindahan
agar aku
keriangan

Dan esok juga
kau ajaklah bintang
menemani
awan

Bulan
bintang dan
awan
kau lebih faham.

ZULBAHRI HUSSIN. 25/FEB/2011....Puisi dalam diri.

Ahad, 20 Februari 2011

GEMURUH

Telah kutemui
jalan yang lurus
meluncur tanpa
arus

Jalan yang lurus
adakalanya
bertali arus
menghimpun seluruh
tawa dan riuh

Riuhnya
jadi keruh
air dibaruh
dan dadaku tiba tiba diasak
angin gementar

Jiwa bergemuruh
musim belum luruh
dan telah kutangguh
biar ia teguh

Seteguh
jalan yang lurus
sekeruh air
dibaruh.


ZULBAHRI HUSSIN.
Kuantan.

puisi dalam diri ...20 feb 2011

Selasa, 15 Februari 2011

GUNA LAMPU GASOLINE

Penulis mengeluh lagi. Kali ini untuk menjelaskan bayaran bulanan bil eletrik. Entah apa silapnya mencecah seratus lebih. Kalau dibiarkan makin bertambah.....kalau tiga bulan dibiarkan mungkin surat amaran untuk menamat perkhidmatann akan tiba.Berpeluh pula penulis untuk membayarnya.....mungkin mencecah lima ratus ringgit.

Aduh mak oii.... api bayar..air bayar..cukai pintu bayar...tax bayar.......semuanya berbayar...dapat duit satu guni pun mungkin tak terlekat dalam poket.

Penulis merenung lampu gasoline yang tergantung dialang rumah.......masih berfungsikah lampu berusia puluhan tahun ini. Kalaulah lampu ini digunakan penulis tidak bersusah payah memikirkan bil eletrik, tapi adakah lagi kedai runcit yang menjual minyak tanah?....mungkin sukar kerana rata rata penduduk kampung tidak menggunakan pelita ayam.

Mengimbas kembali detik masa lampau kedudukan rumah keluarga penulis agak terpencil jauh dari jalan utama.Pihak LLN sebutan lama....sekarang TNB...agak sukar menyalurkan bekalan.Penulis adik beradik mengerumuni arwah bapa untuk untuk melihat detik2 indah cahaya memasuki mentol lampu gasoline yang diperbuat dari benang. Adakalanya kami ditengking kerana sering bermain main dan cuba memandai mandai untuk memusing tombol takat cahaya pada lampu tersebut.

Kalau setakat lampu mungkin boleh selesai....tapi bagaimana dengan penggunaan barangan lain seperti mesin basuh......mungkin jerihlah mak datin penulis menyental pakaian.Begitu juga anak2 pulang dari asrama mereka perlu juga melepaskan rasa bosan , nak juga menonton tv. Hal lebih parah penulis sendiri terpaksa melupakan terus dunia blog..... seganlah duduk lama2 kat kedai kopi tumpang WIFI.......tapi kalau rumah tak ada eletrik terpaksa jugalah........

Tinggal dirumah yang tidak mempunyai eletrik memang seronak.....tak ada apa nak buat ...... pukul 9.30 dah menguap.....cepat rasa mengantuk.....penulis tidur awal......dan besok sebelum subuh dah terjaga...........tapi sesuaikah... jika penulis menamatkan bekalan eletrik......sedang jiran sebelah rumah terang benderang.......tentu ada suara2 berbisik.......mmmmm....api kat rumah dia kena potong......tak mampu bayar...??/ hee..heee...

Selasa, 8 Februari 2011

ALANGKAH BERTUAH JIKA ADA KEBUN GETAH



Alangkah bertuah jika ada kebun getah.Selepas subuh boleh turun menoreh. Jam sepuluh pagi dah selesai,boleh singgah kedai kopi...duduk2 berborak kosong atau melayari internet..balas komen2 dari sahabat maya.

Peningkatan harga getah,membuat sahabat penulis menamatkan perniagaan membekal barangan makanan.Beberapa hari lalu penulis sempat menalifon bertanya khabar...beliau meninggalkan sedikit pesanan....kalau kawan2 mencari aku....katakan perniagaan aku sudah jatuh menjunam....aku sekarang muflis. Untuk meneruskan kehidupan aku memajak getah seorang makcik.......apalah aku sekarang hanya seorang penoreh getah.......sayu merendah diri...

Penulis tersenyum bercampur menyampah cara merendah diri berselit keegoan.Penulis faham benar perangai beliau,melakukan sesuatu pekerjaan hanya separuh jalan.Pernah terpengaruh pernigaan MLM tidak berlesen sehingga penulis juga turut terjebak.....dan kini lonjakkan harga getah membuatkan beliau tidak senang duduk....sering menalifon penulis untuk menjadikan teman ,mungkin takut...dalam kebun getah faham2 sajelah........

Penulis hairan,bagaimana beliau cuba untuk memberanikan diri menoreh getah sedangkan beliau tidak pernah memegang pisau getah.........apa pun mungkin nanti cara torehan beliau mungkin merosakkan pokok getah pemilik ladang.Mungkin juga berbaku bakul leteran akan beliau terima.....tengoklah nanti............

Rabu, 2 Februari 2011

KAYUH BASIKAL

(Basikal jenama Raleigh telah di kayuh dari Besut, Terengganu ke negeri Pahang, untuk meneruskan kehidupan. Penhijrahan berlaku lewat tahun 60-an)




Petrol naik lagi. Mana nak cari duit untuk mengisi minyak motosikal. Untuk menghantar anak ke sekolah penulis menggunakan motosikal, ia begitu praktikal dan mudah dikendalikan, di lorong-lorong kecil ataupun di celahan rumah jiran yang mana terdapat jalan pintas.

Peningkatan harga petrol merisaukan penulis. Kalaulah motosikal digerakkan dari tenaga air alangkah bertuahnya, air longkang di depan rumah penulis begitu banyak begitu juga dengan air hujan penulis boleh sambungkan terus saluran atap ke dalam tong.

Sekali tuang untuk mosikal 100cc dalam enam ringgit, itupun tangki belum cukup penuh. Ulang-alik untuk menghantar anak ke sekolah pagi dan petang ditambah tuisyen pada sebelah malam dapat bertahan dalam dua hari, lusa harus ditambah lagi. Itupun belum masuk penulis , gunakan untuk ke tmnet bayar bil, ke pasar beli ikan dan kegunaan peribadi yang lain......... Cukai jalan!.... tayar pancit, tayar botak, lining brek, rantai dan spoket lama-kelamaan haus juga.

Dalam termenung penulis berfikir, alangkah senangnya orang tua kita dulu mengayuh basikal tanpa memikirkan tentang petrol. Mereka juga mempunyai semangat yang kental dalam menguruskan kehidupan, malah mereka tidak merungut tentang kesusahan.

Penulis mencongak diera 60-an orang tua kita berbasikal ke mana sahaja ke bandar, membawa hasil pertanian, memunggah padi untuk dijual. Penulis juga tercabar dengan keberanian orang dulu-dulu. Mengikut maklumat dan sumber rasmi dari mak mertua basikal (gambar di atas) telah dikayuh dari Besut ke Pahang. Untuk sampai ke Pahang tidak pula penulis tanyakan, berapa hari.

Terdetik di hati penulis untuk membaikpulih basikal tersebut. Tengoklah nanti kalau harga petrol terus meninggi. Tapi penulis ingin bertanyakan adakah ia sesuai digunakan untuk menghantar anak ke sekolah..... berulang-alik pagi dan petang dan malam pula menghadiri kelas tuisyen?.................

Rabu, 26 Januari 2011

IKAN KUKUS...HIDUP SEDERHANA...MAKAN PUN ALA KADAR .....SYUKUR IA TETAP REZEKI


Ini aje yang ada untuk sarapan pagi, ikan kukus.Lebih dari itu tak mungkin ,penulis bukan orang senang .Hidup penulis kais pagi makan tengahari dan kais tengahari makan petang...kais petang makan malam.......Malam tak bolih kais sebab dikampung suasana memang gelap tidak seperti dibandar lampunya terang benderang.

Ikan kukus dengan nasi dingin adalah menu segera.Segera untuk dimakan,tidak perlu pulas tombol dapur gas,bolih jimat penggunaan gas.Mungkin dimasa akan datang kembali kezaman jepun,punggunaan dapur kayu diaktifkan semula,tengoklah nanti jika harga bahan bakar terus melonjak.Penulis pernah merasa keadaan sedemikian,masa kecil..pernah kehutan mencari kayu api....paling tidak pelepah kelapa juga bolih dijadikan kayu api.

Kekangan kenaikkan harga barang membuatkan penulis termenung.Apakah makanan paling sesuai untuk sarapan pagi bagi golongan miskin seperti penulis.Tanak pulut..,,? lagi berat pulut dah lima ringgit satu kilo........gaul kelapa muda ?....kelapa dah dua ringgit satu biji.

Alternatif untuk meminimunkan perbelanjaan sarapan pagi,penulis anak beranak berpakat untuk makan apa saja....walaupun makanan yang dimakan tidak mengandungi zat a b c d dan apa apa gizi lagi......

Sebagai penggerak tani....penulis bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik....anak2 pun dapat belajar dengan selesa, keputusan pelajaran juga bolih dibanggakan.Apa yang penulis musykilkan sampai bila kenaikkan harga barang akan berhenti. Dari tahun ketahun harga setiap barangan terus meninggi........

Jumaat, 14 Januari 2011

JADIKAN DIRI ORANG YANG BERAKHLAK




1. Bercakap benar dalam pertuturan jangan amalkan berbohong walaupun sekali.


2. Bersikap setia, beramanah, tunaikan janji


3. Berani melaksanakan hak kewajiban dan mengakui kesalahan diri sendiri.


4. Bersopan santun, tunjukkan wajah dalam keadaan ceria.


5. Bersifat malu, merendah diri, peka dengan masalah orang lain.


6. Melakukan khidmat untuk orang lain dan bersedia menbantu.


7. Mengawal perasaan marah, adil, sedia memberi dengan saksama.


8. Berhati mulia, penyayang, bertolak ansur dan berlemah lembut.


JADIKAN DIRI ORANG YANG BERAKHLAK MURNI MENUNAIKAN TUNTUTAN MASYARAKAT SEMOGA KITA MEMPEROLEHI BERKAT.



gambar sekadar hiasan rujukan google

Khamis, 6 Januari 2011

ADAB KEPADA IBU BAPA




Ketahuilah wahai muslim dan muslimah bahawa Allah SWT mewajibkan kita berbuat baik kepada ibu bapa. Adab dan cara kita menghadap mereka mesti lebih istimewa daripada menghadap orang-0rang lainnya.

Si anak sama ada dia lelaki atau wanita, wajib kepadanya bercakap secara lembut, sopan dan kasih sayang kepada ibu bapanya. Si anak tidak boleh bercakap kasar dan mengatakan kata-kata yang tidak baik sekalipun ibu bapanya terkadang memulakan kata-kata kuat dan kasar.

"Di antara kewajipan seseorang mukalaf ialah berbakti kepada ibu bapanya. Ertinya berbuat baik kepada ibu bapa sekalipun mereka itu orang fasik. Bahkan ibu bapa yang bukan muslim pun masih wajib berbuat baik kepadanya. Si anak dituntut pergi menjumpai orang tuanya di gereja kalau keadaan memerlukan.

Wajib mendengar dan mentaati arahan ibu bapa selama mereka menyuruh kepada yang baik dan tidak bertentangan dengan syarak. Kalau yang mereka suruh itu dilarang oleh syarak tidak boleh dilaksanakan.

Firman Allah:

Dan kami wajibkan manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah engkau mengikuti keduanya. (Al-Ankabut:18)


Memang cinta dan kasih sayang ibu bapa kepada kita sewaktu kecil dahulu tidak sama dengan kasih kita kepada mereka setelah mereka tua. Pepatah mengatakan cinta ibu sepanjang jalan dan cinta anak sepanjang galah.


(Info: Gambar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sekadar hiasan.... rujukan google.)

Isnin, 3 Januari 2011

AURAT LELAKI


Al-Hakim telah mengeluarkan sebuah hadis daripada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, Baginda bersabda:

"Apa yang di antara pusat dan lutut adalah aurat."

Al-Hakim meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam melihat seorang lelaki yang terdedah pahanya, maka Baginda berkata kepadanya sebagai memberi nasihat:


"Tutupkan paha kamu, sesungguhnya paha adalah aurat"

Menurut sebuah riwayat al-Tarmizi:

"Paha adalah aurat"

Nas-nas hadis ini menjelaskan bahawa tidak harus bagi lelaki mendedahkan sejuzuk pun antara lutut dan pahanya, sama ada ketika bersukan, berenang, latihan dan juga di kolam air, sekalipun aman daripada rasa syahwat.


(Info: Gambar Upin & Ipin sekadar hiasan.)




SELAMAT TAHUN BARU 2011

Sabtu, 25 Disember 2010

BUDU SEBAGAI BUAH TANGAN


Cuti persekolahan lalu, abg Man dari kampung Tengah Kuantan, berkunjung ke Pasir Putih menghadiri majlis perkahwinan adik perempuan beliau. Saya sempat menyindir, hai takkan tak ada apa-apa....

Ooooo... faham-faham katanya, dalam senyum meleret abg Man menghulurkan sesuatu dari bonet keretanya. Nah........ ambil ni.......

Saya sudah menduga kalau pulang ke Kelantan abg Man mesti memberikan saya hadiah dodol, budu dan makanan ringan kegemaran orang Kelantan.

Senyum meleret abg Man diikuti dengan pesan menunjukkan rasa bangga, katanya budu ini sangat istimewa, kandungannya telah tersedia, cili, asam dan yang paling istimewa budu ni kepekatannya di tahap paling pekat. Kalau kau suka cair........ tambahlah sedikit air, abg Man berpesan lagi.

Oh....ooooo terima kasih abg Man, berapa harganya saya pura-pura bertanya.
Hissssh..... tak payahlah kan buah tangan, dahlah jangan tanya-tanya......

Makan budu sudah sinonim dengan orang pantai timur. Budu memiliki zat gizi yang lebih mudah dicerna, diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh berbanding jenis protein yang lain. Ia juga dapat mempertingkatkan IQ kepada sesiapa yang memakannya. Selain pembekal kepada protein yang tinggi, ia turut mengandungi mineral, makro dan mikro dalam jumlah yang cukup. Hebat budu ni, jangan pandang lekeh jika ternampak seseorang membimbit budu.

Saya memang penggemar budu, lebih-lebih lagi budu yang diproses melalui kaedah buat sendiri. Ikan bilis segar disumbat ke dalam botol diselang-seli butiran garam kasar. Proses pemeraman paling awal satu bulan, menjadikan ikan bilis tidak hancur. Ikan bilis yang tidak hancur (hampas budu) dibungkus dalam daun kunyit, kemudian dibakar (dipanggang) menerbitkan aroma, sungguh wangi...... menjadikan kita tak semena-mena..... lapar nasi.

Budu dengan nasi dingin (nasi semalam) adalah sarapan sebelum saya ke sekolah. Mungkin orang lain enak dengan nasi lemak ataupun karipap. Saya sedikit pun tidak menunjukkan tanda protes, kerana itu ajelah yang ada.

Masih saya ingat waktu sekolah dahulu, pernah saya menyuruh seorang kawan mencium tapak tangan saya dan meneka apakah baunya....... Kebetulan kawan saya itu bersarapan menu yang sama dengan saya iaitu budu. Jadi jawapannya memang tepat......
Kami ketawa........... (diam mu jange royat ko .... saing-saing) memang satu waktu dulu, malu sungguh kalau orang tahu, kita penggemar budu.

Terima kasih untuk abg Man, nanti kalau ke Kelantan belikan lagi budu untuk saya.
lima ringgit sebotol pun tak apa, yang penting pekat, nikmat serta lazat.

Khamis, 16 Disember 2010

SEKAMAR RINDU (BUAT BLOGGERS SEKAMAR RINDU)

Ambo janji nak sambung ayat-ayat puitis Bloggers Sekamar Rindu. Bulih deh....

Bintang mengerdip
silangit keriangan
daku terhibur...

Oh bulan daku terkenang
kisah semalam
masih terbayang

Ku tunggu
engkau tak pulang
hatiku rindu
bukan kepalang

Tinggallah aku
sekamar rindu
rindu pada
damainya alam.


Zulbahri Hussin
Permatang Badak
17/12/2010.

Huhu.... Kita pakat buat sajak.... Maaf deh sebab sambung hok demo.... Selamat berkarya....

Rabu, 8 Disember 2010

MEMBERSIH KAWASAN KEBUN


Untuk menghilangkan kebosanan sempena cuti sekolah, aku ajak budak-budak menolong membersih kawasan kebun. Dari mengadap televisyen 24 jam sekurang-kurangnya fikiran mereka akan terbuka dapat menghayati kehijauan anugerah alam. Untuk melebarkan kawasan bercucuk tanam yang baru, pokok akasia terpaksa ditebang. Boleh tumbang ke... Parang ini bukannya tajam sangat.... Tak berkesan kerana parang tumpul. Berapa lama masa diperlukan untuk menumbangkan pokok ini. Kalau ada gergaji rantai tak lah seteruk ini.
Ini bukan tebang tetapi takir. Mungkin lama-kelamaan pokok ini tumbang juga tapi kerja nya amat perlahan, biarkanlah takir pun takirlah.....
Wow tumbang juga nasib baik budak-budak yang lain menjauhkan diri, mungkin mereka telah terdengar bunyi 'krek krek' menandakan pokok menyembah bumi.Ok abang Long, tarik. Abang Long memang kuat lihatlah badannya, pokok yang besar macam ni pun dia tak perlu dibantu....Tengok dia boleh angkat lagi. Bagus dia boleh diajak buat kerja.Kuat-kuat pun dia akan penat juga. Kasi dia berehat, Kesian...Muallim lagi hebat. Bagi dia parang habis pokok-pokok tu dia kerjakan...
Berat sama dipikul yang ringan masing-masing bawalah. Memikul tiang pagar (turus) untuk diatur disekeliling kawasan kebun. Supaya senang nanti abah membinanya.Kawasan yang dipagar taklah seluas mana tapi untuk membinanya memerlukan kesabaran lebih-lebih lagi bila cuaca panas dan matahari mula meninggi.
Woi terkejut jumpa sarang khinzir, Mungkin khinzir dah cabut lari dengar riuh-rendah anak-anak bergurau sesama mereka.Khinzir ni pandai buat sarang. Lihatlah jerumun ini kalau hujan, memang tak basah. Rumput-rumput kering serta lalang dihimpun seperti busut dibuat pintu untuk keluar dan masuk.
Kerja sudah separuh selesai bolehlah budak-budak ini merehatkan diri. Teduhan pokok tembesu ini memang sejuk rasa malas untuk pulang, kalau dibina rumah di atas pokok ini mungkin boleh terlelap atau terlena terus...
Pokok tembesu ini perlu dikekalkan. Ianya sungguh selesa untuk merehatkan diri.

Jumaat, 3 Disember 2010

AWAL MUHARRAM 1432 H

Jangan lupa tahun baru Islam hari selasa ini 7 Disember 2010. Bersama berazam mempertingkatkan keupayaan diri mental serta fizikal ke arah perkara-perkara yang positif.

Kepada sahabat bloggers selamat menyambut Awal Muharram 1432H.

Ahad, 28 November 2010

IDULADHA, (JAMUAN DAGING SINGGANG)

Sempena iduladha (raya kedua) mengadakan jamuan daging singgang, saudara mara juga jiran sekampung. Makan bersila di hamparan kanvas mengeratkan silaturahim.
Saudara Sani dari Mersing tersenyum puas, pertama kali merasai 'gear box' singgang dan daging goreng 'fresh'. Sari too much... Kami makan daging. Masakan orang pantai timur memang best.
Abang Kamal berbaju kuning dari awal hingga akhir bekerja keras memastikan masakan dihidang tepat pada waktunya.
Air tebu 'fresh' minum sepuas-puasnya. Satu orang berkemungkinan meminum dalam empat gelas. Yang terhidang ini, adalah trip yang kedua dimesin. Itulah untungnya bila mana kita ada kebun tebu sendiri...

BINA JATI DIRI DENGAN SILAT

Cuti sekolah aku habiskan waktu terluang dengan mempelajari seni mempertahankan diri. Silat merupakan seni mempertahankan diri sinonim dengan masyarakat melayu. Ianya wujud sejak berkurun lalu diwarisi turun temurun merupakan sesuatu yang perlu dipertahankan dan di pelihara supaya ianya kekal dan diminati oleh generasi kini.
Amirul (berbaju merah) penuh gaya mempamerkan seni silat cekak terlak.
Jika tiada hujan, tiap petang kami berlatih bersama.

Selasa, 23 November 2010

HARI KEPUTUSAN UPSR 2010 (11/11/2010) HARI YANG MENDEBARKAN



Setelah bekerja keras selama enam tahun. Tuisyen siang malam. Belajar di hari cuti, akhirnya target untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang iaitu 5A tercapai juga. Bukan aku seorang tapi 35 orang rakan sekelas ku mendapat keputusan yang sama. Sesuai dengan nama aku Muhammad Muhajirin yang akan terus berhijrah. Penhijrahan yang memungkinkan kejayaan yang lumayan. Terima kasih buat guru kelasku Cikgu Shamsiah dan kesemua guru-guru yang terlibat yang turut bekerja keras.

Tak lupa juga terima kasih yang amat buat bapaku Encik Zulbahri dan mamaku Pn. Nora. Mereka terus memberi semangat dan meyakinkan bahawa hanya pelajaran dan ilmu yang boleh mengubah nasib seseorang.

Disebelah ku ini Pn. Faridah GPK Hal Ehwal Murid. Terima kasih buat beliau kerana sudi menyampaikan slip keputusan UPSR untuk pelajar-pelajar di hari tersebut.

Turut sama mendapat 5A sahabat baikku, tiap petang ke rumahku untuk belajar secara berkumpulan sehingga pulang lewat petang, Amirul Hafiz Bin Adam juga memperolehi kejayaan cemerlang.

Dua orang ni, mereka memang 'kamcing' dengan aku juga mendapat 5A, bersongkok tersenyum 'happy', Putera Muhammad Aiman Danial Bin Muhammad Sapiee. Yang berdiri tegak kat tengah tu Muhammad Imran Bin Ruslan juga skor 5A. No.3 Aku, Muhammad Muhajirin Bin Zulbahri.

Hari yang menggembirakan, Putera, Amirul, Aku, Ayah Putera, Encik Sapiee turut hadir untuk berkongsi kejayaan dengan kami. Riak kepuasan jelas terpancar di wajah Encik Sapiee bila mana kami bertiga mendapat keputusan yang cemerlang.


Sebahagian kawan-kawan ku pelajar Sekolah Kebangsaan Permatang Badak Kuantan Pahang tahun enam sesi persekolahan 2010 mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan UPSR. Kepada semua selamat tinggal. Memori terindah menuntut ilmu bersama, suka dan duka akan aku sematkan sebagai kenangan. Tahun hadapan 2011 kita akan bertukar haluan tapi matlamat tetap sama mengejar menara gading.

Selasa, 20 Julai 2010

Mesin Mini Tiller OMT 500 Buatan China









Agak lama tidak update blog. Sibuk dengan kerja-kerja di kebun. Aktiviti menanam sayur semakin bersemangat, cuaca berselang seli panas dan hujan menambah kelembapan tanah. Tanaman semakin subur dan hasilnya semakin bertambah.Mujur ada Abang Long sedia untuk menolong. Begitulah bila cuti sekolah Abang long pagi-pagi lagi beria-ia mengendalikan mesin tiliir (penggembur tanah).Tapi awas Abang Long untuk menukar mata tiliir tu, pastikan enjin dah dimatikan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...